Hukum Tarikan

Pengenalan

Penulis terpanggil untuk melihat satu DVD yang bertajuk “The Secret” yang menceritakan tentang hukum tarikan. Sejauh manakah hukum ini releven dengan kehidupan kita sebagai seorang muslim.

Antara kunci kejayaan yang diterangkan didalam DVD ini adalah Meminta (Ask), Percaya (Believe) & Terima (Receive). Ketiga-tiga unsur ini adalah berkait rapat dengan Bersyukur (Gratitute) dan Membayangkan (Visualize).

Pandangan dari seorang Muslim

Mari kita sama-sama melihat kaitan hukum ini dengan Al-Quran, kitab yang sepatutnya kita jadikan panduan hidup.quran syukurDalam surah al-kauthar, maksudnya berbunyi:

  1. Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat).
  2. Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).
  3. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).

Masya allah!

Daripada ayat 1, apa yang penulis faham mengikut tafsir yang dipetik daripada Tafsir Quran (Universiti Islam Antarabangsa (UIA)).

Tidakkah kita sedar tentang perkara ini?

Jika kita telusuri dan memahami apa yang cuba disampaikan dengan ayat ini, kita akan jadi manusia yang lebih bersyukur.

Realiti

Realiti kehidupan hari ini, manusia tidak pernah puas dengan apa yang dikurniakan kepada mereka. Adakah ungkapan seperti:-

  • Gaji aku RM3000 sebulan, tapi tak cukup! Beli itu, beli ini, dah habis.
  • Aku ada banyak duit, tapi aku takde masa la!
  • Eh, ko tau? Bos aku tu tak buat kerja pun. Semua kerja dia aku buat, last-last, gaji dia lagi tinggi dari aku. Mana adil!
  • Alah, nanti aku tua aku tobat la.

biasa didengar dalam kehidupan kita sehari-hari?

Mengikut hukum tarikan, untuk hukum ini berfungsi dengan baik, perkara pertama yang perlu kita lakukan adalah bersyukur. Memetik kata-kata dari buku “Quranic Law of Attraction” oleh saudara Rusdin S. Rauf,

"Jika kita jadikan lautan itu sebagai dakwat, batang-batang pokok sebagai pen dan tanah-tanah lapang di dunia sebagai lembaran kertas, tidak akan ada orang yang mampu menulis satu per satu kenikmatan yang dianugerahkan Tuhan kepadanya. Betapa banyaknya nikmat Tuhan yang melekat dalam diri kita ini."

Rusdin S. Rauf

Pernahkah kita sebagai hamba Allah s.w.t mengalami keadaan yang sangat dukacita? Kita rasa umpama dunia ini tidak berlaku adil kepada kita? Saya berikan contoh disini:-

"Anda berusaha bersungguh-sungguh bekerja untuk mendapat kenaikan pangkat yang anda idamkan selama ini. Anda tidak kenal erti penat dan lelah. Siang & malam anda bekerja keras. Tetapi, akhirnya orang yang anda tidak sangka atau suka mendapat pangkat yang anda impikan itu. Bagaimana perasaan anda ketika ini? Tentu seluruh anggota terasa lemah. Bak kata pepatah Melayu, bagai nak gugur jantung dibuatnya."

Daripada kes diatas, apa yang kita boleh pelajari? Apakah niat atau tujuan anda bekerja dengan keras? Untuk dapatkan pangkat? Apa tujuan anda untuk dapatkan pangkat tersebut? Untuk gaji yang lebih tinggi? Untuk jawatan yang boleh anda banggakan? Atau untuk anda mempunyai kuasa untuk menindas orang lain? Jika anda dapat pangkat tersebut, apakah tindakan anda seterusnya?

Pada pandangan penulis, setiap apa yang berlaku keatas diri kita ada hikmah disebaliknya. Mari kita lihat dari perspektif yang berbeza. Adakah Tuhan tahu apa yang terbaik untuk hambanya? Sudah tentu jawapannya “Ya!”. Mungkin pangkat yang kita impikan itu akan membawa lebih keburukan daripada kebaikan. Bayangkan, adakah berkemungkinan apabila kita menjawat jawatan tersebut kita akan lebih jauh dengan Allah s.w.t? Adakah kita akan lebih jauh ditenggelami keasyikan dunia? Adakah akan timbul perasaan riak (nauzubillahiminzalik)?

Hikmah di sebalik kejadian

Apa yang kita boleh lakukan sebaliknya? Kita lihat perkara yang lebih positif. “Alhamdulillah, aku dapat tambah pengalaman dengan kerja-kerja yang aku lakukan!” “Syukur Ya Allah, aku masih mempunyai sifat yang sempurna untuk memperhambakan diri padamu.” atau “Alhamdulillah, aku dapat menambah portfolio yang baik dalam CV aku!”Setelah kita tahu & kenal erti syukur, kita akan lebih bersedia untuk menerima. Kita akan kenal dan menghargai setiap apa nikmat tuhan yang kita miliki. Ingatlah sahabat-sahabat semua, setiap insan mempunyai kelebihan mereka tersendiri. Allah s.w.t. menjadikan setiap ciptaannya unik.

Setelah kita bersyukur dan bersedia, berdoalah. Sesungguhnya Allah s.w.t. itu terlalu hampir kepada kita. Berdoalah dan percayalah bahawa Allah s.w.t. akan memperkenankan apa yang kita minta. Insya allah, apa yang kita minta akan diperkenankan Allah s.w.t.

Di akhir kalam, penulis ingin berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat semua. Ketika melakukan solat hajat, berdoalah dengan cara yang terbaik (mengikut pandangan penulis sahaja, setiap orang mempunyai pandangan dan persepsi berbeza). Doa yang lazimnya penulis amalkan,

"Ya Allah, jika (hajat) yang aku pohon ini adalah yang terbaik untuk diriku, tebaik untuk keluarga ku dan yang terbaik untuk umat islam keseluruhannya, maka permudahkanlah dan perkenankannya Ya Allah Ya Wahhab."

Setelah penulis mengamalkan doa tersebut, tiap kali bordoa, penulis dapat rasakan sama ada apa yang penulis minta itu adalah yang terbaik ataupun tidak. Pernah satu ketika, penulis terlalu inginkan sesuatu (hajat) dan rasa terlalu perlu kepada (hajat) tersebut. Tetapi setelah berdoa, penulis rasa tawar hati untuk memiliki (hajat) tersebut. Dan memang benar, setelah melakukan usaha dengan bersungguh-sungguh, penulis “GAGAL” mendapatkan hajat tersebut & penulis faham (hajat) itu bukanlah yang terbaik untuk diri penulis, keluarga dan agama. Alhamdulillah, akhirnya penulis faham yang hidup ini bukanlah umpama roda, sekejap kita diatas dan sekejap kita dibawah. Jika kita kenal erti SYUKUR, kita akan sentiasa hidup bahagia.

Share this post

Share on facebook
Share on google
Share on twitter
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on print
Share on email